JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengesahkan tidak akan bertanding sebarang jawatan parti pada peringkat pusat, sekali gus melenyapkan khabar angin yang menjangkakan beliau merebut kerusi Ketua Pergerakan Pemuda.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO bahagian itu sebaliknya, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam pada pemilihan parti kali ini.
“Kita sedia maklum bahawa sekarang adalah musim pemilihan UMNO. Saya telah berdoa meminta petunjuk, ilham dan hidayah daripada Allah SWT.
“Saya juga telah berusaha mendapatkan pandangan pelbagai pihak, termasuk ahli keluarga, sahabat, pemimpin dan jentera akar umbi terutama di Bahagian Simpang Renggam, mengenai jawatan yang sesuai untuk saya menawarkan diri pada pemilihan kali ini.
“Oleh itu, saya tidak akan menawarkan diri untuk jawatan pada peringkat pusat tetapi dengan rasa penuh rendah diri, ingin menawarkan diri bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam pada pemilihan penggal ini.
“Saya akan memberi fokus kepada pentadbiran dan pembangunan di kawasan saya dan seluruh Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, pimpinan akar umbi UMNO Bahagian Simpang Renggam dilaporkan meminta Onn Hafiz bertanding merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda bagi mengembalikan maruah parti, apatah lagi beliau yang juga cicit kepada pengasas parti keramat orang Melayu itu bukan lagi nama asing kerana terbabit secara langsung dalam UMNO sejak 2013.
Menjelaskan lanjut, Onn Hafiz yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, berharap keputusannya itu dihormati semua pihak.
“Saya telah membuat keputusan untuk terus memfokus khidmat bakti kepada Johor. Insya-Allah, saya akan terus berusaha mengukuhkan pentadbiran dan pembangunan Johor,” katanya.-BERITA HARIAN