KUALA LUMPUR: Kejayaan Kerajaan Perpaduan melalui calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao memperolehi majoriti selesa dan meyakinkan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) menunjukkan ‘trend’ sokongan pengundi masih kekal kepada gabungan parti itu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata kemenangan itu juga menunjukkan kekuatan baharu Kerajaan Perpaduan melalui kesepakatan kempen yang baik antara PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Mengulas lanjut katanya, Kerajaan Perpaduan berjaya menang dengan majoriti yang melangkaui jangkaan ramai pihak walaupun sebelum ini PH diramal hanya mampu menang dengan majoriti kurang daripada seribu undi.
“Walaupun sebelum pilihan raya ini, ramai penganalisis kata PH boleh menang tapi dalam lingkungan majoriti tidak sampai seribu namun majoriti kita capai hari ini melangkaui jangkaan ramai pihak. Mungkin ramai penganalisis tidak menjangkakan keputusan ini.”
“Sock Tao mendapat satu majoriti cukup meyakinkan, dengan 14,000 undi dan majoriti lebih 3,800. Ini adalah suatu kemenangan yang sangat meyakinkan.”
“Kita juga mendapat penambahan undi dalam kalangan pengundi masyarakat Orang Asli dan pengundi awal. Keseluruhannya kita mendapat sokongan pelbagai kaum.”
“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan kerana menunjukkan kesepakatan dalam kempen kita cukup baik khususnya jentera dari PH, BN dan GPS yang turut sama membantu,” katanya pada sidang media, di sini.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Sambutan PKR ke-25 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sock Tao diisytiharkan menang dalam PRK DUN KKB apabila memperolehi 14,000 undi.
Pencabar terdekat, Khairul Azhari Saut daripada Perikatan Nasional (PN) 10,131 undi; calon Bebas, Nyau Ke Xin, 188 undi dan Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) 152 undi.
Menang dengan 3,869 majoriti undi; Anthony yang juga Menteri Pengangkutan mahu Sock Tao sentiasa bersikap merendah diri dan memulakan tugas dengan serta-merta selain sentiasa merapatkan hubungan antara masyarakat.
Beliau berkata banyak agenda yang perlu dilaksanakan, bukan sahaja peranan Sock Tao yang akan menjadi penghubung antara kerajaan negeri dan rakyat, namun tanggungjawabnya membangunkan ekonomi tempatan khususnya mempromosikan eko pelancongan di Kuala Kubu Bharu.
Mengenai peratusan undi yang hanya 61.51 peratus, Anthony berkata perkara itu sudah dijangka.
“Namun kita berpuas hati kerana lebih 60 peratus, ketika pilihan raya negeri (PRN) 69 peratus. Walaupun kita harap peratusan pengundi lebih tinggi namun kita tahu ramai pengundi tidak balik untuk PRK,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- PRK KKB: Sock Tao akan berpindah ke Kuala Kubu Bharu, demi penduduk
- Kerjasama BN-PH tunjang kejayaan di PRK DUN Kuala Kubu Bharu
- 25 tahun PKR: Hayati perjuangan, jangan alpa kuasa dimiliki – Anwar
- PRK KKB: PH mengekalkan kemenangan dengan majoriti 3,869 undi
- [VIDEO] ‘Tripple Happines’ untuk Kerajaan Perpaduan – Fahmi