Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Majlis Ulama UMNO (MUU) menzahirkan kekesalan atas sikap dan cara berpolitik di pentas demokrasi yang keras dan kasar ditampilkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan menuduh dan menggelar pihak politik yang berbeza sebagai lebih “dajjal” daripada “dajjal”.
Naratif politik sebegitu dlihat akan mengulangi siri pertembungan yang tajam khususnya antara penyokong dan ahli PAS dan UMNO pada awal 80-an menerusi cetusan amanat dan ucapan politik yang merosakkan persaudaraan Islam selama puluhan tahun sehinggalah diredakan menerusi Muafakat Nasional pada 2019.
“Politik sebegini sepatutnya dibenamkan jauh ke dasar lautan dan tidak dijadikan ikutan generasi baru masyarakat Malaysia.
“Umum umat Islam mengenali susuk “dajjal” menerusi Hadis Rasulullah SAW sebagai lambang kekufuran dan kefasikan yang mengelirukan umat manusia dan menguji serta merosakkan keimanan mereka dengan pembohongan dan kejahatan sebelum akhirnya dibunuh oleh Nabi Isa alaihissalam di akhir zaman sebelum Qiamat.
“Ia sangat tidak wajar dipalitkan sesama muslim yang bersaing secara sihat di arena demokrasi Malaysia,” menurut MUU dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, MUU mengajak semua pihak untuk menghiasi politik demokrasi dengan akhlak Islam dan menjunjung peringatan Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 11.
“Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman, janganlah ada satu kelompok mempersendakan satu kelompok yang lain barangkali yang dipersendakan itu lebih baik daripada yang mempersendakan.
“Dan janganlah para wanita mempersendakan wanita-wanita lain barangkali yang dipersendakan itu lebih baik daripada yang mempersendakan.
“Dan janganlah kamu mencela diri sendiri dan janganlah kamu gelar-menggelar dengan gelaran buruk.
“Seburuk-buruk nama adalah kefasikan selepas keimanan. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah sebenar-benar orang-orang yang zalim,” tambah kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.