GEORGE TOWN: DUN Pulau Pinang meluluskan usul isytihar pengosongan kerusi Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bertam dan Teluk Bahang.
Usul itu dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di persidangan DUN Pulau Pinang.
ADUN terbabit, ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) memenangi kerusi DUN pada PRU-14 atas tiket Pakatan Harapan.
Mereka semua dianggap hilang kerusi berkenaan selepas BERSATU meninggalkan Pakatan Harapan (PH) berikutan ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020, berdasarkan peruntukan akta anti lompat parti yang terkandung dalam Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Perkara 14A menyatakan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika dipilih sebagai calon parti politik, meletak jawatan atau dipecat daripada sesuatu parti atau telah dipilih selain daripada sebagai calon parti politik, dia menyertai parti politik.
Speaker DUN Pulau Pinang Law Choo Kiang sebelum ini mengemukakan usul itu sebagai perkara utama pada hari pertama Persidangan DUN.