Oleh: Baharuddin Mohamed
MELAKA: Lima Ketua UMNO Bahagian di sini dijangka mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan parti itu di peringkat bahagian bulan depan.
Kesemua ketua bahagian yang mengesahkan mempertahankan kerusi mereka ialah Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh (Masjid Tanah), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Tangga Batu), Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali (Bukit Katil), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Kota Melaka) dan Datuk Hasan Rahman (Jasin).
Dua ketua bahagian iaitu Ab. Rauf dan Abdul Razak dijangka menang tanpa bertanding kerana sehingga kini belum ada calon lain yang menawarkan diri merebut jawatan tersebut.
Empat ketua bahagian iaitu Alor Gajah, Tangga Batu, Bukit Katil dan Jasin pula dijangka berdepan saingan satu lawan satu.
Keempat-empat bahagian terbabit akan dicabar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau anggota Exco kerajaan negeri.
Kedudukan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali untuk bertanding sebarang jawatan di peringkat bahagian masih terus menjadi tanda tanya.
Beliau sering mengelak daripada menjawab soalan berkaitan pemilihan bahagian pada setiap sidang akhbar diadakan.
Difahamkan beliau pernah ditawarkan bertanding di Alor Gajah mengisi kekosongan jawatan ketua bahagian namun tiada kata putus.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman mengesahkan untuk menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian itu.
Rospandi yang menyandang jawatan Timbalan Ketua Bahagian sejak 2013 menawarkan diri ekoran kekosongan jawatan itu apabila penyandangnya, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan meninggal dunia akibat Covid-19 pada 17 November tahun lalu.
Pemilihan UMNO bermula hari ini bagi memilih jawatankuasa cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri membabitkan 22,000 cawangan dan 191 bahagian di seluruh negara.
Pemilihan pada peringkat cawangan yang bermula hari ini, akan berlangsung sehingga 26 Februari sebelum diteruskan untuk peringkat bahagian sehingga 18 Mac ini.