Tumpuan :
Politik

Lebih 13,000 ahli baharu UMNO didaftarkan tahun ini

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Pertambahan ahli baharu UMNO, yang mencecah lebih 13,000 orang dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, menunjukkan parti itu terus mendapat sokongan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia menjadikan sehingga 6 Jun lalu, parti itu mencatatkan seramai 3.44 juta ahli, merangkumi 22,125 cawangan dari 191 bahagian di seluruh negara.

Jelas Datuk Seri Asyraf Wajdi walaupun UMNO sering dilabel sebagai parti pilihan ketiga, tidak popular dan tidak diterima anak muda, statistik pertambahan ahli baharu seramai 13,442 orang membuktikan sebaliknya.

Daripada jumlah itu sebanyak 8,876 orang atau 66 peratus adalah mereka yang berusia 18 tahun hingga 30 tahun.

“Ini adalah satu petunjuk positif yang parti kita masih ada pendukungnya, masih ramai yang ingin turut serta dan UMNO parti yang sentiasa terbuka,” katanya ketika menyampaikan laporan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Mengulas lanjut, beliau berkata, empat negeri yang mencatatkan jumlah ahli teramai ialah Sabah, dengan 604,328 orang, diikuti Johor (455,125), Selangor (432,030) dan Kedah (302,939 orang).

Lima bahagian yang mencatatkan jumlah ahli teramai ialah tiga bahagian dari Sabah, iaitu Lahad Datu, Libaran dan Semporna; bahagian Gombak di Selangor dan Baling di Kedah.

“Ramainya ahli ini tidak akan bermakna jika tidak dapat digemblengkan usaha menggerakkan mereka untuk bersama dengan agenda parti dan diterjemahkan ke dalam kertas undi,” katanya.

Loading...
Terkini