comscore
Tumpuan :
Politik

Lebih 1,000 ahli BERSATU Jeli keluar parti

Bekas Timbalan Ketua Cawangan BERSATU Kedai Kuala Balah, Rodzi Muhammad (tengah) bersama dengan pimpinan parti di sini mengumumkan keluar daripada parti, berkuatkuasa hari ini. – FOTO: NSTP

JELI: Lebih 1,000 pimpinan dan ahli BERSATU membabitkan lapan cawangan di sini mengumumkan keluar daripada parti, berkuatkuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat kerana kesemua mereka sudah hilang keyakinan terhadap pimpinan parti selain BERSATU dilihat lemah dalam percaturan politik terutama isu pemilihan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Berikutan itu, lapan cawangan BERSATU di Jeli iaitu Lawang, Asahan, Batu Gajah, Kedai Kuala Balah, Legeh, Nibong, Jedak Tua dan Kubur Datu dianggap ‘terkubur’ selepas kesemua mereka keluar daripada parti.

Bekas Timbalan Ketua Cawangan BERSATU Kedai Kuala Balah, Rodzi Muhammad berkata, keputusan yang diambilnya bersama rakan-rakan adalah kerelaan mereka sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.

“Bersama saya hari ini termasuk tiga ahli jawatankuasa (AJK) BERSATU Jeli, lapan ketua cawangan BERSATU dan Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Jeli mengumumkan perletakan jawatan kami berkuatkuasa serta merta.

“Keputusan ini kami ambil secara sukarela dan tiada paksaan serta tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Sehubungan dengan itu, lapan cawangan dan 18 cawangan srikandi dengan ini mengumumkan pembubaran di cawangan BERSATU terbabit,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, keyakinan mereka terhadap BERSATU sudah terhakis sama sekali dan parti itu disifatkan bukan lagi parti dominan orang Melayu yang boleh bergantung harap.

“BERSATU dilihat begitu lemah dan ini jelas dalam pemilihan calon PRK DUN Nenggiri dimana BERSATU jelas dipermainkan dan digula-gulakan oleh PAS. Kami amat malu dan tercabar dengan kesilapan percaturan ini.

“Kami melihat Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih berkarisma dan berdaya maju” katanya.

Rodzi berkata, setakat ini mereka tidak menyertai mana-mana parti namun menyokong Kerajaan Perpaduan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini