Oleh: Ing Boon Seng
HANOI: Hubungan dua hala Malaysia dan Vietnam akan terus diperkukuh sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu selama dua hari mulai esok.
Lawatan pertama Datuk Seri Anwar ke negara itu sejak menerajui kepimpinan negara, cukup signifikan dan bermakna kerana tahun ini genap ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Vietnam yang terjalin sejak 30 Mac 1973.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata lawatan Perdana Menteri adalah atas jemputan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.
Jemputan tersebut dipanjangkan kepada Datuk Seri Anwar ketika kedua-dua pemimpin bertemu pada Sidang Kemuncak ASEAN KE-42 di Labuan Bajo, Indonesia, Mei lalu.
Jelas Datuk Seri Zambry, lawatan rasmi Perdana Menteri kali ini adalah sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama dan hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua negara sejak lima dekad lalu.
Tambah beliau, Perdana Menteri mempunyai jadual yang ketat sepanjang lawatan rasmi dua hari berkenaan.
Selain pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Datuk Seri Anwar juga dijangkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Vietnam, Vo Van Thuong, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam, Vong Dinh Hue.
Datuk Seri Anwar juga akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama di antara National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia, NCCIM dan VIetnam Chamber of Commerce and Industry, VCCI.
Ia dijangka mengukuhkan lagi kerjasama dua hala antara Malaysia dan Vietnam serta memberi faedah kepada pembangunan sosio-ekonomi kedua-dua negara yang menguntungkan rakyat.
Datuk Seri Anwar turut akan mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Vietnam dan masyarakat Islam sebelum menunaikan solat Jumaat di satu-satunya masjid yang ada di Hanoi iaitu Masjid Al Noor.
Sebelum itu, Datuk Seri Zambry akan mempengerusikan Mesyuarat ke-7 Suruhanjaya Bersama Antara Malaysia dan Vietnam bersama rakan sejawat beliau, Bui Thanh Son.
Malaysia dan Vietnam mempunyai hubungan dagangan dan kerjasama ekonomi yang kukuh yang kebanyakannya terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, produkpetroleum dan produk kimia serta berasaskan kimia.
Vietnam adalah rakan dagang Malaysia ke-12 terbesar secara global dan juga destinasi eksport ke-10 terbesar pada tahun 2022 dengan nilai dagangan mencecah AS$19.33 bilion.