Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Kejayaan PAS Melaka mencipta sejarah memenangi dua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semalam bukan sesuatu yang mengejutkan sebaliknya ia ibarat ‘lauk’ yang sudah siap untuk dimakan.
Itu analogi yang diberikan Pesuruhjaya PAS Melaka, Zulkifli Ismail yang memenangi kerusi Parlimen Jasin dengan majoriti 322 undi malam tadi.
Beliau tidak menganggap keputusan semalam sebagai memecah tradisi walaupun PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi Parlimen di Melaka dalam mana-mana PRU sebelum ini.
“Sebenarnya bukan pecah tradisi, ia macam kita masak, kita kena potong sayur, potong bawang sebelum masak, apabila sampai satu peringkat kita boleh makan.
“Generasi awal PAS sudah sediakan semua itu, apabila rasa dia sedap maka sebab itulah kita tengok rakyat memberikan sokongan kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Beliau berkata demikian pada ketika ditemui media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Mingguan di Baitul Qurro’ wal Fuqoha’, Payasum, Sungai Udang di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka.
Mengulas lanjut Zulkifli berkata, kejayaan PN memenangi tiga kerusi Parlimen daripada kesemua enam kerusi ditandingi adalah fenomena nasional yang menunjukkan rakyat mahukan perubahan.
“Ini menunjukkan bagaimana rakyat begitu kehausan pemimpin yang membawa budaya politik bersih sebagaimana slogan PN yang mahu membentuk kerajaan yang bersih, stabil dan prihatin.
“Kini apa yang tinggal kepada kami adalah memastikan mandat rakyat sebagaimana yang dihasratkan pengundi dapat ditunaikan,” katanya.
Keputusan semalam menyaksikan Zulkifli memperoleh 27,893 undi di kubu kuat UMNO itu meninggalkan calon BN, Datuk Roslan Ahmad (25,571) serta calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Harun Mohamad (21,674) dan calon Pejuang yang hanya meraih 460 undi.
Kerusi Tangga Batu turut dimenangi PAS apabila Bakri meraih 37,406 undi menewaskan penyandangnya Prof Madya Rusnah Aluai daripada PH yang memperoleh 28,557 undi, calon BN, Datuk Lim Ban Hong (25,095 undi) serta seorang calon Perjuang dan Bebas yang turut hilang deposit.