Tumpuan :
Politik

‘Langkah Dewan Merdeka’: KJ boleh tunjuk sendiri siapa ‘perwakilan import’

Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menempelak tindakan Khairy Jamaludin yang mendakwa wujud komplot ‘Langkah Dewan Merdeka’ dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 hari ini.

Katanya, kenyataan bekas Ketua Pemuda itu jelas tidak menunjukkan kematangan dalam berpolitik.

“Ini satu kenyataan yang cukup memalukan dan saya fikir ia tidak sepatutnya kita sebut dalam Perhimpunan Agung UMNO.

“Kita semua kena profesional dan terima apa saja keputusan perwakilan… jangan apabila keputusan memihak kepada kita, dikatakan itu betul dan jika sebaliknya, kita kata ada yang tidak jujur,” katanya kepada media selepas melawat Laman Media untuk Perhimpunan Agung UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Khairy yang mendakwa wujud komplot ‘Langkah Dewan Merdeka’ untuk meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Khairy mendakwa, ‘tag’ (tanda) pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO sudah ditanggalkan ketika ini sebagai usaha membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid menyerahkan keputusan mengenai pertandingan dua jawatan utama parti kepada perwakilan adalah satu keputusan yang tepat.

Beliau mendedahkan pertandingan dua jawatan tertinggi parti itu pernah dibangkitkan oleh seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dalam mesyuarat tertinggi parti itu.

Namun, katanya, Presiden meminta perkara itu dihentikan kerana mahu menyerahkan kepada perwakilan dalam PAU.

Mengenai dakwaan perwakilan import oleh Khairy, katanya, ia tidak sepatutnya timbul kerana sebagai pemimpin sudah pasti mereka mengenali pemimpin di peringkat Bahagian.

“Seperti saya, semua 22 bahagian di Selangor saya turun padang dan saya kenal semua bukan setakat Ketua Bahagian, tetapi juga Naib Ketua Bahagian, Setiausaha begitu juga dengan Ketua sayap semua bahagian,” katanya.

KJ dipelawa tunjuk sendiri siapa perwakilan import

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil mempelawa bekas Khairy hadir ke Dewan Merdeka dan menunjukkan individu yang didakwa sebagai `perwakilan import’.

Beliau berkata, ini kerana tuduhan bekas Menteri Kesihatan itu berhubung wujud perwakilan import terbabit tidak benar sama sekali dan berunsur fitnah.

Sehubungan itu, beliau meminta Khairy meminta maaf secara terbuka kepada semua perwakilan UMNO kerana menuduh mereka diimport selain pemeriksa pas masuk serta Skuad Sabil Pemuda kerana memfitnah mereka tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Saya ada dalam Dewan Merdeka sekarang, tidak ada perwakilan import seperti dituduh atau difitnah KJ (Khairy). KJ pastinya tahu, setiap perwakilan dalam Dewan Merdeka yang mewakili bahagian masing-masing kenal sesama sendiri yang duduk di barisan kerusi mereka atau siapa yang duduk di sebelah mereka.

“Jika ada orang yang mereka tidak kenal atau tidak sepatutnya berada di situ, mereka akan tahu dan pemeriksa pas pun akan tahu. Fitnah itu lebih teruk dari membunuh,” katanya.

Loading...
Terkini