Tumpuan :
Mahkamah

Langgar syarat bon: Mahkamah Rayuan putuskan Zuraida perlu bayar RM100,000 kepada PKR, bukan RM10 juta

Datuk Zuraida Kamaruddin. FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin hanya perlu membayar RM100,000 kepada PKR kerana melanggar syarat bon parti itu.

Keputusan sebulat suara dibuat oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk See Mee Chun selepas membenarkan sebahagian rayuan Zuraida selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta kepada PKR.

Turut bersidang bersama, Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Mee Chun berkata, pihaknya bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa terdapat pelanggaran bon dilakukan oleh Zuraida.

Bagaimanapun, menurutnya, berdasarkan penemuan mereka, jumlah RM10 juta bukanlah pampasan yang munasabah.

“Ia tidak boleh ditafsirkan sebagai pampasan yang munasabah. Ia tidak munasabah dan melampau.

“Tetapi ia tidak membebaskan perayu (Zuraida) daripada sebarang liabiliti. Hakikatnya kekal bahawa dia telah melanggar bon. Parti itu berhak mendapat pampasan yang berpatutan tetapi bukan RM10 juta.

“Kami mendapati hakim Mahkamah Tinggi mungkin tersilap dalam membenarkan responden RM10 juta. Tetapi kita tidak boleh mengabaikan pelanggaran bon oleh perayu. Kami mengubahnya kepada RM100,000,” katanya.

Dalam prosiding itu, peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun mewakili Zuraida manakala peguam PKR, Navpreet Singh selaku responden.

Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta selepas memutuskan bahawa bon itu kontrak yang sah dan mengikat.

Pada 2020, Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi pihak parti yang memulakan saman tersebut mendakwa Zuraida melanggar syarat bon yang ditandatanganinya.

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti itu untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini