comscore
Tumpuan :
Politik

Ku Li Bertanding PRU-15?

Oleh Akmaliah Razak

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberi bayangan awal berhubung keputusannya sama ada kekal bertanding atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau mengakui menerima sokongan daripada pelbagai pihak untuk terus kekal memimpin parlimen tersebut.

Bagaimanapun beliau meletakkan keputusan itu di tangan parti.

“Orang Asli, orang muda ada buat perjumpaan sesama mereka. Sama juga di kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) buat perjumpaan mahu saya kekal bertanding.

“Saya tak tahu la tu terpulang kepada parti saya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat PIBG SK Pos Brooke kali ke 21, di sini semalam.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh turut mengakui UMNO tiada kekuatan untuk berdiri sendiri dan perlu kerjasama dengan parti lain untuk memenangi PRU akan datang.

Menurut beliau, bukan sahaja isu pengunduran dari parti komponen, malah kes mahkamah melibatkan pemimpin utama turut menjadi kebimbangan buat UMNO.

“Kita kena kerjasama dengan orang lain kerana kita tiada kekuatan. Kita ada 13 rakan dalam Barisan Nasional sekarang banyak daripadanya sudah tarik diri. Jadi kekuatan sudah hilang dari Sarawak dari Sabah khususnya.

“Parti yang masih kekal dengan kita sudah tiada kekuatan jadi dari mana nak dapat kekuatan, kita pun berdepan dgn banyak isu. Pemimpin UMNO sendiri ada masalah dengan mahkamah.

“Kalau kita tak bersedia, kita seolah-olah nak cari maut. Kita kena bertindak dengan logik dan dengan asas yang kuat, tak boleh kita ikut nafsu semata mata,” katanya.

Pada 1974, beliau memenangi kerusi Parlimen Ulu Kelantan, yang kemudiannya dinamakan sebagai Gua Musang dan menjadi wakil rakyat di Parlimen itu selama 11 penggal sehingga kini.

Loading...
Terkini