KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan membuat kenyataan menghasut dan berkecenderungan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.
Dua pertuduhan menghasut itu adalah berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, 11 Julai lalu.
Berikut adalah kronologi sehingga membawa kepada pendakwaan terhadap Sanusi:
11 Julai 2023: Sanusi dalam ceramah politiknya di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam mengeluarkan kenyataan yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja).
13 Julai 2023: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil kesal dan mengecam kenyataan Sanusi yang didakwa menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam urusan pemilihan Menteri Besar.
13 Julai 2023: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji keperluan untuk menubuhkan satu unit khas bagi meneliti kes berkaitan dengan isu 3R yang sering dimainkan semasa tempoh kempen pilihan raya.
13 Julai 2023: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM membuka kertas siasatan terhadap Sanusi mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R dalam ceramah politiknya.
13 Julai 2023: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli menggesa PN memohon maaf, ekoran kenyataan Sanusi, yang didakwa mempertikai kewibawaan institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri itu.
14 Julai 2023: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Sanusi perlu bersedia berdepan kesan dan akibat daripada kelancangan ucapan beliau yang terus menyentuh isu 3R.
14 Julai 2023: Lima ahli Dewan Diraja Selangor iaitu Tan Sri Ambrin Buang, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Datuk Emran Kadir membuat laporan polis terhadap Sanusi yang didakwa mempertikai kewibawaan institusi diraja Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri itu.
15 Julai 2023: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setiap parti politik perlu menggunakan fakta untuk menyatakan sesuatu pandangan ketika berkempen dan bukannya dengan cara yang tidak mempunyai ‘akhlak politik’ walaupun berbeza pendapat.
15 Julai 2023: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata membangkitkan isu memecah belah, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi raja-raja adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
16 Julai 2023: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menempelak dakwaan Muhammad Sanusi bahawa kerajaan menghalang akses atau memadam kandungan akaun TikToknya berkata kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana akaun pengguna aplikasi media sosial TikTok.
17 Julai 2023: Sultan Selangor dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Selangor Royal Office bertitah perkara berhubung kenyataan Muhammad Sanusi yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor, sebagai masih belum selesai.
18 Julai 2023: Pegawai kepada Muhammad Sanusi iaitu Helmi Khalid menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam laman Facebooknya memaklumkan Menteri Besar Kedah itu ditahan polis di bilik penginapannya di sebuah hotel di ibu negara awal pagi tadi.
Menurut catatan kronologi dalam video yang dikongsikan itu, pintu bilik Sanusi diketuk oleh anggota polis pada 2.30 pagi sebelum Menteri Besar Kedah itu dibawa keluar dari bilik penginapannya pada jam 3 pagi.
Beliau kemudian diarah menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk siasatan di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948.
18 Julai 2023: Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan Muhammad Sanusi pada awal pagi tadi adalah untuk pendakwaan di Mahkamah Sesyen Selayang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa