comscore
Tumpuan :
Nasional

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan utamakan agenda rakyat berbanding parti politik

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Oleh: Nur Ain Zulfah Yahya

KUALA LUMPUR: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan buat julung kalinya akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Ahad ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata konvensyen itu adalah yang pertama diadakan sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enam bulan lalu.

FOTO: Fahmi Fadzil/Facebook

“Setelah enam bulan pembentukan Kerajaan Perpaduan, insyaAllah Ahad ini Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan akan diadakan.”

“Rakan-rakan boleh ikuti di media sosial rasmi pimpinan dan parti politik,” katanya.

Bertemakan ‘MADANI: Mengangkat Agenda Rakyat’, konvensyen ini dijangka menghimpunkan lebih 10,000 kepimpinan daripada 19 parti politik gabungan Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini berkata konvensyen ini mampu mengukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan sekaligus mengelak sejarah krisis politik yang berlaku sepanjang empat tahun lalu berulang kembali.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – FOTO: NSTP

“Konvensyen ini akan menjadi titik tolak kepada mewujudkan kesefahaman dan kolaborasi yang lebih kukuh di peringkat parti, dengan matlamat yang jelas bagi memastikan kestabilan politik dapat terus dipertahankan,” katanya.

Konvensyen berkenaan akan dihadiri semua presiden parti gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Loading...
Terkini