Tumpuan :
Politik

Kon Yeow harap pimpinan baharu DAP dahulukan rakyat, parti melebihi peribadi

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. – FOTO: NSTP

BAYAN LEPAS: Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berharap barisan pimpinan baharu yang bakal menerajui parti itu meletakkan kepentingan parti dan rakyat melebihi keutamaan peribadi.

Dalam ucapan terakhirnya selepas memegang jawatan itu selama 25 tahun, Kon Yeow berkata, DAP Pulau Pinang mencapai banyak kejayaan dan berharap semua pemimpin serta ahli parti itu terus memberi komitmen tertinggi.

“Saya akan menyerahkan baton pimpinan kepada pemimpin baharu dan apabila perwakilan mengundi hari ini bagi memilih pasukan untuk menerajui DAP Pulau Pinang, anda mengundi untuk masa depan parti.

“Saya diberi penghormatan untuk berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang selama 25 tahun dan ia berlaku selepas kekalahan mengejut Lim Kit Siang dan Karpal Singh pada Pilihan Raya Umum 1999.

“Ketika itu saya berusia 41 tahun dan tanggungjawab meneruskan perjuangan politik DAP terpikul di bahu saya bersama pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Arena SPICE) di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, tugasnya mengemudi DAP ketika itu dalam usaha terus menghidupkan semangat juang ahli, disifatkan amat mencabar dalam keadaan DAP menjadi pembangkang.

Justeru, beliau berterima kasih kepada parti dan perwakilan atas sokongan serta peluang untuk tempoh panjang.

Sebelum itu, graduan Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkhidmat sebagai Setiausaha Negeri selama lapan tahun.

Selepas dilantik semula sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri lalu, Kon Yeow diarah oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, untuk merangka pelan penggantian supaya generasi seterusnya dapat mengambil alih tanggungjawab pimpinan.

“Saya memilih Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang untuk memberi peluang kepada perwakilan memilih kepemimpinan baharu.

“Ketika ini, kita menjadi sebuah parti yang jauh lebih kuat dari segi organisasi, sumber kewangan, publisiti dan sokongan rakyat,” katanya.

Turut berlangsung pada konvensyen itu ialah sesi pemilihan semula jawatankuasa negeri untuk DAP Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027.

Seramai 15 calon yang berjaya menempatkan diri dalam jawatankuasa negeri akan memilih Pengerusi DAP Pulau Pinang baharu dalam kalangan mereka.

Pada 5 Ogos lalu, Kon Yeow mengesahkan tidak bertanding pada pemilihan jawatankuasa berkenaan yang berlangsung hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini