comscore
Tumpuan :
Politik

Komponen PH buat keputusan sendiri

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Parti dalam Pakatan Harapan (PH) akan membuat pertimbangan masing-masing, jika ada permohonan daripada ahli UMNO yang dipecat untuk menyertai mana-mana parti gabungan itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata PH tidak mahu masuk campur dalam urusan dalam parti komponen dan setakat ini, mana-mana ahli yang berdepan tindakan itu juga belum menyatakan hasrat mereka.

“Terpulang kepada mereka. Kita tak payahlah membuat kesimpulan. Jika ada sesiapa yang membuat permohonan, itu parti masing-masing akan pertimbangkan dan kita tidak mahu membuat apa-apa jangkaan dulu,” katanya.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Wisma Chinese Chamber di sini, hari ini.

Malam tadi, UMNO memecat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga Timbalan Ketua UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin. Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kedua-duanya dipecat disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan ketika Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15).

Selain itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; Ketua UMNO Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan digantung daripada parti selama enam tahun.

Sementara itu, ditanya sama ada DAP akan menjemput pemimpin yang dipecat itu untuk menyertai parti, Loke berkata, DAP tidak perlu membuat apa-apa jemputan terbuka.

“Ia terpulang kepada pemimpin itu masing-masing. Saya pasti mereka tahu apa yang terbaik untuk membuat keputusan,” katanya.

Mengenai sama ada pemecatan pemimpin UMNO itu akan memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, Loke berkata, kerajaan akan kekal fokus kepada pentadbiran dan pelaksanaan dasar yang ditetapkan.

“Jadi, urusan dalaman parti politik masing-masing. Kita biarkan parti itu untuk uruskan. Kita akan teruskan kerja kita untuk menyampaikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

“Itu akan kita fokuskan supaya kita terus mendapat sokongan rakyat, termasuk semasa PRN nanti,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini