Tumpuan :
Politik

KJ dakwa wujud komplot ‘Dewan Merdeka’

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin hadir menyaksikan perbahasan usul pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022 sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur semalam. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa wujud komplot ‘Dewan Merdeka’ untuk meluluskan usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Khairy mendakwa, tag di kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO sudah ditanggalkan ketika ini sebagai usaha membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.

“Petang ini akan ada undi untuk usul tambahan ini dan saya difahamkan ia akan ‘dibulldoze’ (dilanggar).

“Malah, beberapa tag di kerusi di Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan ditanggal supaya perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak (sokongan) dan ‘bulldoze’ usul supaya ia (jawatan Presiden dan Timbalan Presiden) tidak dipertandingkan,” katanya dalam satu video di TikTok hari ini.

Semalam, perwakilan UMNO Negeri Sembilan yang juga wakil UMNO Bahagian Rembau Mohd Shukri Shamsudin, mengemukakan usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Cadangan usul tambahan itu membuatkan Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur kecoh seketika, dengan ribuan perwakilan UMNO menyambutnya dengan reaksi bercampur-campur.

Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular di media sosial semalam, beberapa perwakilan dilihat bangun menyokong cadangan itu, namun pada masa sama, ada kumpulan perwakilan lain dilihat membantah cadangan usul tambahan itu dengan laungan ‘boo’.

Mengulas lanjut, Khairy menyifatkan usul tambahan itu sebagai pelik apabila disampaikan oleh wakil dari Bahagian Rembau, memandangkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan adalah Ketua Bahagian UMNO Rembau.

“Kalau nak bawa usul penambahan pun, lindunglah sikit. ‘What happen to you’ (Apa dah jadi pada kamu) Mat Hasan?” soalnya.

Sehubungan itu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau merayu semua perwakilan UMNO dalam Dewan Merdeka supaya tidak meluluskan usul tambahan berkenaan, sebaliknya memberi kebebasan kepada perwakilan utnuk memilih pucuk pimpinan parti.

Beliau turut memberi jaminan pertandingan dua jawatan itu tidak akan menyebabkan UMNO berpecah-belah, sebaliknya akan menyokong mana-mana individu yang mendapat mandat menerajui UMNO.

“Saya janji bahawa pemilihan tidak akan membawa kepada perpecahan. Siapa yang menang dapat mandat daripada parti. Siapa yang menang, kita sokong dan kita ketepikan segala perbezaan selepas selesai pemilihan nanti.

“Kita sudah tinggal 26 kerusi Parlimen UMNO. Ini prestasi yang terburuk dalam sejarah parti kita.

“Jadi sangat penting perwakilan dalam UMNO jangan melakukan langkah Dewan Merdeka untuk bunuh demokrasi, menidakkan suara perwakilan di akar umbi menentukan masa depan UMNO dan memilih siapa yang boleh dan layak menerajui parti kita dan membangkitkan semula parti keramat UMNO,” katanya.

Loading...
Terkini