comscore
Tumpuan :
Politik

Kita tunggulah malam ini…

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias. Foto : @jalaluddinalias / Twitter

JELEBU: Kita tunggulah malam ini sama ada nama yang tular betul atau tidak, selebihnya saya tidak tahu apa-apa,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika diminta mengulas senarai nama calon yang tular di media sosial.

Katanya senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri ( PRN ) Ogos depan akan diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini.

Justeru itu katanya senarai nama calon bertanding yang tular adalah dianggap tidak betul sehingga pengumuman rasmi dibuat.

“Perkara seperti ini biasa berlaku setiap kali pilihan raya diadakan dan selagi ia belum diumumkan, ia dianggap tidak sahih,” katanya.

Berdasarkan senarai yang tular, 50 peratus adalah muka baharu sebagai calon di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan. Ia termasuk kerusi DUN Lenggeng yang menjadi perebutan di antara UMNO dan AMANAH.

Antara nama disenaraikan termasuklah anak bekas Ahli Parlimen Jempol Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Mohd Najib di DUN Bagan Pinang dan isteri Mohd Isa , Puan Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid di DUN Juasseh.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu turut disenarai sebagai calon DUN Pertang manakala Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan turut disenarai bagi mempertahankan DUN Rantau.

Selain itu Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli di DUN Linggi; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Muhamad Zamri Omar di DUN Serting. Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Khadir pula disenaraikan sebagai calon di DUN Jeram Padang dan Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd Asna Amin di DUN Lenggeng.

Tiga lagi calon baharu iaitu bagi DUN Kota, Suhaimi Aini; DUN Seri Menanti, Sufian Md Razi dan DUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar yang merupakan Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Sembilan.

Sebelum ini media melaporkan Ahmad Zahid memaklumkan sudah menerima semua senarai calon yang akan mewakili parti itu di enam negeri yang akan menghadapi PRN.

Katanya, senarai itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, sebelum diumumkan pada malam ini.

Loading...
Terkini