MELAKA: PAS rela menjadi pembangkang daripada bergabung dengan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak sekali-kali akan bergabung dengan BN yang dianggap masih keruh selain masih mengekalkan pemimpin yang mempunyai kes mahkamah.
“Kalau kita menang sendiri dengan majoriti dua pertiga atau majoriti mudah, tak perlu kepada orang (parti lain untuk bergabung), (tetapi) kalau ada pihak yang nak bekerjasama selepas kita membentuk kerajaan, kita alu-alukan datang kepada kita.
“Kalau Pas tak dapat majoriti mudah (untuk membentuk kerajaan), kita sanggup jadi pembangkang. Kita dah jadi pembangkang berpuluh-puluh tahun, kita tak mahu kerajaan yang tak bersih.
“Bagaimanapun, jika ada pemimpin Umno bersih (untuk bersama), itu cerita lain. Pendirian Pas masih sama, kita berprinsip (kerana) kita bukan ‘parti hanyut’,” katanya selepas menghadiri Program Jelajah Presiden PAS ke Melaka di Cheng di sini, petang ini.
Media hari ini melaporkan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pemimpin BN dan Perikatan Nasional (PN) sudah memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas PRU-15.
Anwar dilaporkan mendakwa, kedua-dua gabungan parti itu sudah membuat rancangan berkenaan selepas masing-masing ketinggalan dalam persaingan, ketika hari mengundi semakin hampir.
Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN, turut mengulas mengenai dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini yang dilapor mendedahkan parti itu akan bergabung dengan BN pasca PRU-15 jika pihaknya tidak dapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.
“Itu kenyataan dibuat sebelum Parlimen dibubarkan, bukan selepas Parlimen dibubarkan. Saya dah nyatakan (bahawa) kita tolak BN, kita tolak PH kerana ekstrim dan membebaskan mereka yang (mempunyai kes) rasuah.
“Kes (rasuah) Lim Guan Eng dibatalkan begitu saja, proses pengampunan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tak ikut proses, penjenayah dilantik jadi pemimpin.
“BN pula kita tahu (pemimpin) mereka masih dibicarakan di mahkamah, kita mengharapkan Perhimpunan Agung Umno sebelum PRU-15, buat perubahan dalam pemilihan Umno, tapi tak boleh buat, ini jadi masalah,” katanya.-HARIAN METRO