Tumpuan :
Politik

Khalid perlu hentikan ‘tawaran temberang’ – Datuk Seri Johari

Johari Ghani (kanan) dan Khalid Samad ketika melakukan tinjauan di kawasan gerai dan peniaga di Pasar Wirawati, Kuala Lumpur pada 6 November lalu.

PETALING JAYA: Penjelasan Khalid Samad berhubung tawaran RM1,000 sekaki persegi untuk membeli tanah Kampung Baru menunjukkan angka itu tidak pernah diluluskan Jemaah Menteri, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani berdasarkan kenyataan bekas menteri Wilayah Persekutuan itu semalam.

Semalam, Khalid memberitahu Utusan Malaysia bahawa tawaran RM1,000 sekaki persegi itu sudah dilaporkan kepada perdana menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dalam Jemaah Menteri, bagi menjawab soalan Johari yang ingin tahu sama ada angka itu diluluskan kerajaan.

Sehubungan itu, Johari memberitahu FMT bahawa jawapan Khalid itu menunjukkan beliau sekadar memberitahu perdana menteri dan Jemaah Menteri tentang tawaran itu.

“Khalid seperti tidak faham perbezaan antara ‘mendapatkan kelulusan’ Jemaah Menteri dengan ‘memberitahu’ Jemaah Menteri.

“‘Inform doesn’t mean approval (beritahu bukan bermakna sudah lulus). Peruntukan RM10 bilion untuk membeli tanah Kampung Baru ini bukan jumlah kecil,” katanya.

“Adalah tidak bertanggungjawab seorang menteri membuat tawaran sebesar ini kepada rakyat, tanpa mendapat kelulusan Jemaah Menteri. Apakah ini kualiti tadbir urus kerajaan PH dan Khalid Samad sebagai menteri?”

Johari yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, keraguannya mengenai sumber duit untuk membeli tanah Kampung Baru terbukti, selepas calon Pakatan Harapan itu dalam kenyataan semalam berkata duit boleh diperoleh daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau berkata, Khalid tidak bertanggungjawab kerana membuat andaian syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) tersebut bersedia membiayai projek berkenaan.

“Ada beliau dapat persetujuan lembaga pengarah GLIC-GLIC tersebut untuk usaha ini?” soal Johari, mengingatkan bahawa lembaga pengarah GLIC bertanggungjawab kepada pemegang taruh masing-masing.

“Wang syarikat-syarikat ini bukan boleh diambil sesuka hati,” katanya.

Johari meminta Khalid untuk berhenti membuat ‘tawaran temberang’ kepada rakyat selepas pengakuannya itu.

“Khalid akui tiada kelulusan Jemaah Menteri, dia cuma beritahu Dr Mahathir. Dia juga akui tidak ada komitmen kewangan daripada mana-mana pihak, tetapi dia merancang untuk mendapatkan duit daripada GLIC.”

Menurut Utusan Malaysia lagi, calon PH bagi Parlimen Titiwangsa itu berkata, usaha itu akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat persetujuan daripada semua pemilik tanah kerana tidak mahu berlaku seperti di Kampung Sungai Baru.

Bagaimanapun, Johari menyifatkan syarat ‘100 peratus pemilik tanah harus bersetuju dengan tawaran RM1,000 sekaki persegi’ yang diberi Khalid ketika itu sebagai tidak munasabah.

“Mana mungkin syarat-syarat ini dipenuhi kerana setiap penduduk mempunyai nilai tanah mereka tersendiri bergantung kepada keunikan, saiz, serta kedudukan tanah mereka di kawasan mana,” katanya.

“Tiada kelulusan, tiada dana dan syarat tidak munasabah. Sebab itu tawaran ini ‘tawaran temberang’.”

Johari menerangkan bahawa terdapat banyak pihak yang sering menawarkan janji-janji meragukan buat warga Kampung Baru.

“Jadi isu ini perlu dilihat secara keseluruhan. Sebarang tindakan yang diambil tanpa pemahaman yang mendalam mengenai perihal pemilik tanah dan sentimen masyarakat setempat boleh menyebabkan kerugian buat para pemilik dan pewaris dalam jangka masa panjang.”

Beliau menegaskan lagi, “kita hendaklah memastikan hak warga Kampung Baru dilindungi daripada sebarang kegagalan pemaju atau janji-janji manis pemimpin politik.” – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini