KUALA TERENGGANU: Jangkaan mengatakan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, kekal bertanding di Parlimen Kuala Nerus mewakili Barisan Nasional (BN) akan terjawab.
Ia bakal terjawab apabila difahamkan UMNO bakal mengadakan majlis khas semperna penyertaannya sebagai ahli baharu parti itu.
Menurut sumber UMNO Bahagian Kuala Nerus, difahamkan majlis itu akan berlangsung sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.
Bagaimanapun belum dipastikan lagi sama ada majlis pengumuman itu akan dibuat di Kuala Nerus atau Kuala Lumpur.
Bagaimanapun setakat ini, nama Mohd Khairuddin disebut-sebut sebagai calon pilihan pucuk pimpinan parti untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.
“Namun jika betul Mohd Khairuddin dipilih, ia sangat mengecewakan ahli parti, sekali gus akan merencatkan semangat jentera pilihan raya untuk bekerja,” katanya.
Berdasarkan ‘cakap-cakap’, PAS dijangka mempertaruhkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim, sebagai calon di Parlimen Kuala Nerus pada pilihan raya kali ini.
Difahamkan pada awalnya, PAS mahu meletakkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon bertanding di kerusi Parlimen itu tetapi beralih kepada Hishamuddin berikutan Ahmad Samsuri dikatakan akan bertanding di Parlimen Besut.
Sumber berkata, jika benar PAS meletak Hishamuddin bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus, kemenangan dijangka berpihak kepada parti itu berdasarkan prestasi baik sepanjang tempoh beliau menjadi wakil rakyat di DUN Tepoh.
“Dia (Mohd Khairuddin) bantu BN, kita sokong tetapi tidak adil jika dia diletakkan sebagai calon kerana Kuala Nerus masih ada calon yang berkelayakan dan boleh menang untuk bertanding di kerusi berkenaan. Sebagai contoh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman, dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dr Apli Yusof yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Apli memutuskan untuk tidak bertanding, termasuk atas alasan faktor kesihatan, usia dan kurang berpengalaman.
Sumber itu mendakwa, nama Ahmad Razif sudah dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti bagi menggantikan Apli, namun belum memperoleh keputusan daripada pucuk pimpinan parti hingga kini. -BERITA HARIAN