TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, hari ini mengesahkan tidak akan bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Katanya, beliau tidak berminat untuk menjadi calon pada pilihan raya kali ini meskipun ada permintaan untuk beliau bertanding di kerusi Parlimen Tuaran.
“Saya tidak berminat,” katanya menjawab pertanyaan pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tuaran, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah sebelum ini antara yang disebut-sebut bakal menggalas cabaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika gabungan itu bertanding di kerusi Parlimen Tuaran.
Tuaran adalah kubu kuat Hajiji, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, yang disandangnya sejak 1990.
Sementara itu, Hajiji, yang juga Pengerusi GRS berkata, GRS berkemungkinan besar akan meletakkan calon di Parlimen Tuaran pada PRU-15.
Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS, malam ini sebelum dibawa ke perbincangan bersama Barisan Nasional (BN) selepas itu.
“Secara ‘bisik-bisik’ sebelum ini memang ‘okay’ tapi kita kena secara rasmi nanti. Biarlah rasmi (bertanding) apabila sampai masanya,” katanya.
Pada PRU-15 ini, GRS yang merangkumi BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bekerjasama dengan BN dari segi agihan kerusi bagi mengelak pertembungan.
Bagaimanapun, setakat ini, rundingan agihan kerusi antara kedua-dua pihak belum dimuktamadkan sepenuhnya.
Dalam pada itu, mengulas sama ada GRS akan bertembung dengan rakan parti lain yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap gabungan itu, Hajiji berkata, perkara itu tidak akan berlaku pada PRU-15 ini.
Katanya, parti terbabit sudah dianggap sebagai rakan bersekutu GRS iaitu satu perjuangan dalam gabungan berkenaan, cuma tidak boleh menentukan atau mengundi dalam GRS.
“Kita akan bersama-sama mereka untuk memastikan GRS ini sebagai satu parti yang kuat dan beri apa juga peluang sepatutnya sama ada dalam pilihan raya atau apa juga,” katanya.
Antara rakan bersekutu GRS adalah Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS). – BERITA HARIAN