TANJONG KARANG: Ahli Parlimen Tanjong Karang yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi akui ketiadaan penyandang kerusi itu iaitu Tan Sri Noh Omar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), semalam memberi kelebihan untuk menawan kubu kuat terakhir Barisan Nasional (BN) itu.
Dr Zulkafperi yang mendapat majoriti 2,180 undi juga memaklumkan pada awalnya beliau diatur untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Justeru selepas memperoleh kemenangan beliau meletakkan prinsip mahu berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat terutama memperkasakan lagi sektor pertanian di Parlimen itu.
“Pada PRU-14 lalu, saya berdepan dengan Noh namun kemenangan tidak menyebelahi saya apabila tewas dengan majoriti 1,970 undi.
“Namun, PRU-15 kali ini tidak ditandingi Noh sekali gus memberi satu kelebihan besar kepada saya.
“Berbekalkan semangat perjuangan dan dikenali rakyat setempat, kemenangan berpihak kepada saya untuk menabur bakti terbaik di Parlimen Tanjong Karang,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Semalam, media melaporkan Dr Zulkafperi menguasai kerusi Parlimen Tanjong Karang dengan kemenangan majoriti 2,180 undi dengan menewaskan calon BN, Datuk Habibah Mohd Yusof (15,874) dan Siti Rahayu Baharin dari Pakatan Harapan (PH) (12,314).
Turut tewas, calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Azlan Sani Zawawi yang memperoleh 3,557 undi manakala calon BEBAS, Mohd Rosni Mastol dengan 1,406 undi.
Pada masa sama, Dr Zulkafperi berkata, beliau bersyukur kerana diminta pimpinan tertinggi pada saat akhir untuk kekal bersaing di Tanjong Karang.
“Alhamdulilah, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar termasuk proses kempen yang disokong kuat jentera PAS Tanjong Karang.
“Selepas ini, saya mahu membina Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi merancakkan lagi sektor ekonomi dan infrastruktur sedia ada.
“Kita tidak mahu Tanjong Karang dilabel pekan ‘koboi’ sedangkan banyak potensi pembangunan boleh dilaksanakan terutama menjadi hab pertanian dan sawah padi di Selangor,” katanya