JOHOR BAHRU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keserasian gabungan Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, berada di tahap tertinggi.
Ahmad Zahid berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi proses penamaan calon Parlimen Pulai yang berlangsung di Pusat Penaman Calon Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.
Katanya, buat pertama kalinya penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berganding bahu di Johor bagi bertanding dalam pilihan raya bersama.
Turut turun padang katanya, ialah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Keserasian ini berada di tahap di mana pemimpin nasional dan pemimpin negeri punyai keserasian yang tinggi.
“Namun harus diakui di peringkat akar umbi memerlukan sedikit waktu. Dalam tempoh kempen hari ini saya berharap jentera kita dapat dipadukan dengan jentera dalam rakan Kerajaan Perpaduan.
“Saya akan turun menyantuni akar umbi untuk jentera di peringkat akar umbi dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bagi memperkukuhkan keserasian jentera PH-BN,”katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini
Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengiringi calon PH di Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, untuk proses penamaan calon.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid melaungkan keyakinan PH-BN untuk mengekalkan kerusi Parlimen Pulai.
Katanya, beberapa program telah disusun kerana landskap politik yang berbeza ketika ini berbanding sembilan bulan lalu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Untuk Parlimen Pulai saya mempunyai keyakinan yang kuat kerana Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempunyai hubungan sekian lama dengan rakan PH.
“Walaupun sembilan bulan lalu, bertempur satu pertempuran yang sengit, tetapi sembilan bulan kemudian ketika ini kami bersama dalam PRK Pulai dam DUN Simpang Jeram, malah beberapa program sudah disusun Nur Jazlan dan rakan lain.
“Keserasian PH-BN ini juga kerana Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sering menyantuni UMNO sebelum ini, jadi agak mudah bagi kami Pulai mencipta keserasian.
“Jika peratusan undi atas kertas pada PRU 15 lalu, lebih kurang BN 33,000 undi, PH lebih kurang 60,000 undi dan PN 20,000 undi. Tetapi lanskap politik berubah dan parti perlu mengubah kempen, tetapi dalam politik ia tidak mustahil utk dilakukan,” katanya.