Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
PETALING JAYA: Akar umbi UMNO perlu memahami kerjasama dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan termasuk DAP yang pernah menjadi seteru politik sebelum ini, sama sekali tidak akan melemahkan parti itu.
Pengarah Institut Kajian Pilihanraya & Pemajuan Demokrasi UNISEL Profesor Madya Dr. Hamdan Mohd Salleh berpendapat, kerjasama itu sebaliknya mempunyai kelebihan dan hikmah tersendiri kepada UMNO.
Justeru, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, kepimpinan UMNO perlu menerangkan kepada ahli dan penyokongnya mengenai keperluan kerjasama dengan parti lain adalah untuk mengembalikan kekuatan UMNO itu sendiri selain boleh mewujudkan kestabilan politik negara.
Ia juga merupakan asas penting yang menunjukkan sikap keterbukaan UMNO menerima kepelbagaian sekaligus menzahirkan parti itu tidak hanya eksklusif kepada kelompok tertentu.
Jelasnya, sejarah juga menunjukkan UMNO sememangnya sebuah parti yang pragmatik dan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mengukuhkan pembinaan negara bangsa.

“Kita lihat elemen itu bukan perkara baru bagi UMNO,1957 menyaksikan UMNO dan MIC mengangkat kontrak sosial, kemudian 1963, Sabah Sarawak dan Tanah Melayu dan menubuhkan Malaysia dan yang paling menarik 13 Mei 1969 apabila mengangkat, kita panggil BN paksi inilah menunjukkan bahawa dalam usaha cabaran mengukuhkan Malaysia tedapat keperluan kerjasama dengan parti lain.” katanya kepada Buletin TV3 .
Ujar Dr Hamdan, akar umbi UMNO perlu faham kerjasama dalam kalangan parti politik telah lama wujud di negara ini malah dalam beberapa keadaan ia membabitkan seteru politik yang mempunyai ideologi bertentangan.
“Umpamanya kerjasama DAP-PAS yang tidak difikirkan pernah berlaku ahli PAS mengundi DAP, DAP mengundi PAS dan ini yang berlaku dalam politik sekarang dan ahli UMNO dalam PRN akan datang perlu mengundi calon DAP.”
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini dilaporkan berkata pihaknya mempunyai kaedah tertentu bagi mendekati ahli parti supaya turut menyokong Kerajaan Perpaduan termasuk DAP pada PRN tidak lama lagi.
Beliau menyifatkan ia bukan sesuatu yang mustahil meskipun perspektif negatif dan bersifat kebencian yang ditanam oleh kepimpinan terdahulu itu sukar untuk dikikis.