Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
BAGAN DATUK: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan akan wujud kerjasama politik antara BN dan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15).
Tegas beliau, ini bukan waktu sesuai untuk sebarang jalinan kerjasama politik, sebaliknya fokus utama BN kini adalah untuk memenangi pilihanraya dan mendapatkan semula mandat demi menjamin kesejahteraan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Terdahulu, Presiden PAS itu mendakwa akan wujud jalinan kerjasama kedua-dua parti ini selepas tamatnya pilihanraya nanti.
“Kononnya hanya beliau (Hadi Awang) sahaja yang benar hanya beliau sahaja mempunyai spekulasi yang benar. Kita hadapi dahulu pilihanraya umum ini, selepas PRU nanti kita lihat mana semula kerusi-kerusi yang dimenangi sama ada oleh BN atau gabungan parti-parti yang lain,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga calon Parlimen Bagan Datuk turut membidas dakwaan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa sekiranya kerjasama BN dan PH direalisasikan, sebarang pertuduhan mahkamah terhadap beliau akan digugurkan.
Pengerusi BN membidas dakwaan itu dan beranggapan Tun M masih meletakkan dirinya sentiasa benar dan tepat dalam pelbagai spekulasi yang disuarakan.
Bagi Ahmad Zahid dakwaan bekas Perdana Menteri itu hanyalah tindakan taktikal politik yang lemah dan tidak berasas.
“Beliau (Tun M) lakukan telahan sedemikian kerana beliau khuatir partinya itu akan mengalami kekalahan yang teruk. Ini terbukti apabila partinya meletakkan calon-calon di semua kerusi semasa PRN Johor dan kesemua calonnya kalah dan hilang wang deposit.
“Oleh yang demikian beliau tidak boleh menganggap popularitinya itu masih berada di tahap yang sama ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun lalu,” katanya ketika sesi tembual bersama media di kediamannya di sini, hari ini.