comscore
Tumpuan :
Politik

Kerjasama BN-PH tunjang kejayaan di PRK DUN Kuala Kubu Bharu

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditemui media pada Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-78 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kejayaan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu menjadi bukti semangat kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan biarpun dilempar dengan pelbagai tohmahan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tohmahan yang dilemparkan khususnya kepada UMNO dengan melabel parti itu sebagai UMDAP (UMNO-DAP), tidak sedikit pun menjejaskan semangat jenteranya untuk membantu memenangkan calon PH dari DAP.

“Biapun kita dibaling dengan isu UMDAP dan agak sukar untuk kita melakukan penjelasan, namun hakikatnya jalinan BN (Barisan Nasional) dan PH menjadi tunjang kepada kerajaan bersama parti lain di Sabah dan Sarawak.”

“Tunjang ini mesti diperkukuhkan, saya sudah nyatakan bahawa kepemimpinan DAP banyak membantu calon BN dalam beberapa pilihan raya kecil dan ini pertama kali calon DAP bertanding di Kuala Kubu Bharu dan tidak salah jika kita membalas budi yang ditabur oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-78 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Keputusan rasmi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan PH mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,869 undi melalui calonnya, Pang Sock Tao.

Sock Tao meraih 14,000 undi menewaskan pencabar terdekat, calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kejayaan itu menjadi bukti bahawa UMNO memiliki daya tahan yang tinggi untuk terus memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, ketika berucap pada sambutan Ulang Tahun UMNO, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua jentera BN kerana berjaya mematahkan serangan persepsi pihak lawan sepanjang tempoh berkempen PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

“UMNO disimbah UMDAP, tahniah kepada jentera UMNO dan BN di Kuala Kubu Bharu kerana berjaya mengatasi persepsi ini.”

“Saya ucapkan tahniah kepada semua jentera parti, jentera Wanita, Pemuda, Puteri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini