Oleh : Fahiz Ariff
BESUT: Kerajaan Perpaduan mempunyai idea dan misi yang jelas untuk terus kembangkan potensi ekonomi di Terengganu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hal ini bagi mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada generasi muda di negeri itu menjana pendapatan seterusnya membentuk kehidupan yang harmoni dan sejahtera.
“Keprihatinan kerajaan harus dijadikan slogan atau landasan bahawa jika tiga negeri itu (termasuk Kelantan dan Kedah) selari dan selaras dengan kerajaan Persekutuan, maka akan lebih banyak lagi pembangunan dan perancangan yang akan dijalankan,” katanya ketika berucap pada Program Kesejahteraan Komuniti Felda Madani di Felda Tenang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yakin, Kerajaan Perpaduan komited untuk membantu negeri Terengganu memulihkan kelembapan ekonomi, penutupan perniagaan kecil sederhana, ketiadaan peluang pekerjaan baru, pengurusan air lewa dan pengurusan bencana yang lemah.
“Ditambah pula terdapat tanah kerajaan diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) dengan premium terlalu rendah, bantuan banjir dari kerajaan negeri yang bersikap pilih kasih dalam memberikan bantuan dengan hanya mengutamakan penyokong mereka sahaja.”
“Oleh itu, kita akan selamatkan negeri ini dengan memilih calon-calon daripada gabungan BN dan PH (Barisan Nasional dan Pakatan Harapan) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.”
“Jika kita gagal, pastinya usaha untuk kemajuan rakyat dan negeri ini akan tergendala atau tersekat di tengah jalan dek kerana wujud ketidaksefahaman di kedua-dua pihak,” katanya.
Turut hadir di program itu, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Seri Ahmad Said.