KUALA LUMPUR: Keputusan rasmi pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) 2024-2027 akan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU petang ini.
Setiausaha JPP BERSATU, Amirul Fahmi Mohd Mazlan Kushairi berkata, pihaknya sudah menerima keputusan pemilihan daripada 169 persidangan Bahagian seluruh negara yang berlangsung kelmarin.
“JPP Pusat mengesahkan menerima keputusan pemilihan daripada 169 Bahagian yang berjaya melangsungkan persidangan bahagian masing-masing dari seluruh negara kelmarin.
“JPP Pusat sedang dalam proses untuk meneliti semua aduan dan bantahan yang diterima bagi memastikan pematuhan peraturan persidangan dan peraturan pemilihan dengan tertib.
“Pengumuman keputusan penuh dan muktamad akan dibuat esok pada jam 2.45 petang di Ibu Pejabat BERSATU di Yayasan Selangor, Petaling Jaya,” katanya dalam jemputan media, semalam.
Untuk rekod, berdasarkan garis panduan pemilihan peringkat MPT dan bahagian, setiap bantahan keputusan boleh dihantar selepas selesai persidangan bahagian bermula kelmarin hingga 2 petang semalam.
Tumpuan pada pemilihan kali ini terarah pada persaingan enam calon merebut tiga jawatan naib presiden.
Antara yang bersaing adalah dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Calon-calon lain bertanding adalah Timbalan Ketua BERSATU Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah; Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris dan Ketua Bahagian BERSATU Batu Kawan, Aziss Zainal Abidin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.