KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu ini, dapat diumumkan lebih awal berbanding sebelum ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata ia selaras dengan penambaikan kepada sistem pengurusan pilihan raya yang dijalankan.
“SPR menjangkakan keputusan boleh diumumkan lebih awal berbanding dengan pengumuman keputusan pilihan raya sebelum ini,” katanya.
Tambah Abdul Ghani, faktor keadaan dan situasi semasa yang berlaku pada hari tersebut turut memainkan peranan.
Ditanya berkenaan jangkaan peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini dapat kekal tinggi seperti undi awal semalam, beliau berkata SPR sentiasa menyasarkan peratusan keluar mengundi yang tinggi.
“Justeru, SPR memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari mengundi kelak,” katanya.
Jelas beliau, terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi peratusan keluar mengundi dalam sesuatu pilihan raya yang diadakan.
Ia termasuk tahap kesedaran menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, keinginan kepada perubahan dalam senario politik, isu-isu semasa berkaitan dengan sosioekonomi rakyat dan daya tarikan kepada tawaran pembaharuan dijanjikan oleh calon dan parti yang bertanding.
“Faktor persekitaran pada hari mengundi seperti keselamatan, kemudahan pengangkutan dan cuaca juga memainkan peranan yang menyumbang kepada peningkatan paratusan keluar mengundi,” katanya.
Semalam, seramai 72,554 pengundi awal di Kedah, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kelantan melaksanakan tanggungjawab membuang undi.
Mereka yang terlibat terdiri daripada anggota tentera, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing.
Di negeri-negeri berkenaan, peratusan pengundi awal keluar mengundi melebihi 90 peratus.
Manakala bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen P.036 Kuala Terengganu, seramai 1,286 orang pengundi atau bersamaan 95.47 peratus terdiri daripada tentera dan pasangan serta polis sudah mengundi awal.