
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Pemilihan UMNO 2023 membawa mesej kemenangan satu pasukan yang meyakinkan.
Bagi Perdana Menteri, keputusan juga sekali gus berupaya memperkukuh kedudukan Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
“Kita ambil maklum perkembangan terkini. Setinggi tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan yang menunjukkan satu kemenangan pasukan yang meyakinkan dan dengan ini, ia akan memperkukuh Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi.
Pemilihan UMNO 2023- 2026 menyaksikan 54 muka baharu Ketua UMNO Bahagian dipilih .
Manakala gabungan dua muka baharu iaitu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk jawatan Naib Presiden.
Dalam pada itu, Anwar berkata, komitmen kehadiran ditunjukkan pimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan pada mesyuarat malam tadi memberi jaminan dan bukti dokongan kuat semua kepada kerajaan.
Sementara itu, Anwar berkata, satu konvensyen akan diadakan Kerajaan Perpaduan dalam usaha memastikan hala tuju pemikiran dasar yang jelas oleh kerajaan.