| Oleh Selwam Arjunan
GEORGE TOWN : Keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang masih belum dimuktamadkan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dijangka berlangsung pada esok dijangka mengambil keputusan akhir berhubung tarikh pembubaran berkenaan.
“Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan ada mesyuarat masing-masing, mungkin Majlis Presiden Pakatan Harapan akan bermesyuarat pada hari Rabu (untuk) mencapai keputusan bagi menggerakkan langkah seterusnya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PH Pulau Pinang di Wisma DAP di Jalan Rangoon, di sini, tengahari tadi.
Semalam beliau turut memimpin mesyuarat Jawatankuasa DAP Negeri.
Katanya, kedua-dua mesyuarat berkenaan telah mengambil suatu ketetapan, namun ia perlu dibawa ke pimpinan tertinggi parti komponen PH untuk diteliti sebelum dibincangkan bagi keputusan akhir dalam mesyuarat Majlis Pesiden PH esok.
“Saya tidak boleh umum keputusan mesyuarat hari ini, kerana ia perlu dibawa ke pimpinan tertinggi parti masing-masing,” ujarnya.
Katanya, selaku Pengerusi DAP Negeri, beliau juga akan mengusulkan ketetapan itu dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP malam ini.