comscore
Tumpuan :
Politik

Kemenangan besar tanda sokongan padu rakyat

BINTULU: Sokongan  padu rakyat terbukti  terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata GPS turut memperoleh 88.3 peratus undi popular pada PRK itu menerusi calon muka baharu, Iskandar Turkee.

“Sudah tentu ini satu petanda bahawa masyarakat kita khasnya di Jepak dan Bintulu menerima dasar-dasar yang kita rancang dan akan laksanakan,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK itu di sini malam ini.

Pada PRK itu, Iskandar memperoleh 9,638 undi menewaskan dua pencabar, Stevenson Joseph Sumbang daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang hanya meraih 854 undi dan Chieng Lea Phing dengan 431 undi.

Majoriti sebanyak 8,784 undi yang diperoleh Iskandar pada PRK itu lebih dua kali ganda berbanding 4,243 undi diraih pada Pilihan Raya Negeri lepas, kata Premier Sarawak itu.”Ini adalah satu mesej yang jelas, demokrasi ini bukan sahaja untuk kita lawan-lawan (bertanding semata-mata) tetapi kita hendaklah melihat realiti yang berlaku,” katanya

Abang Johari berkata, pengundi muda yang buat kali pertamanya mengundi di peringkat DUN di Sarawak turut menyumbang kepada kemenangan besar GPS kali ini.

“Kita menang di semua saluran mengundi, termasuk saluran yang terdapatnya pengundi muda di kawasan pinggir bandar, bandar dan juga luar bandar,” katanya.Mengenai peratusan keluar mengundi agak rendah pada PRK itu iaitu sebanyak 48.57 peratus, beliau berkata perkara berkenaan memang dijangka kerana beberapa faktor, antaranya pengundi terdiri daripada pekerja dan pelajar di luar Jepak, tidak pulang mengundi kali ini.

Loading...
Terkini