PETALING JAYA: Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan DUN Kelantan akan dibubarkan pada 22 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Hari ini saya membuat pengisytiharan pembubaran DUN Kelantan bagi penggal ke-14. Jadi selepas saya mengadap Sultan Kelantan bagi memohon perkenan pembubaran DUN mengikut Fasal 2 Perkara 46 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan bahawa Sultan boleh membubarkan DUN.
“Justeru, Sultan Kelantan perkenan untuk membubarkan DUN pada 22 Jun ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat EXCO di sini, hari ini.
Beliau berkata, notis pembubaran itu akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tindakan lanjut untuk diproses dalam tempoh 60 hari.
“Terpulang kepada SPR untuk menentukan tindakan lanjut dan notis berkenaan akan dihantar secepat mungkin,” katanya.
Kelantan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.
Kelantan mempunyai 45 kerusi DUN dengan tujuh diwakili ADUN UMNO, satu ADUN Bersatu dan selebihnya ADUN PAS.