![](https://media.buletintv3.my/2022/10/hfpEJU1J-pp-cms.jpg)
Oleh Kadir Edison
KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkemungkinan tidak akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum yang lalu bagi memberikan laluan kepada muka baharu.
Keputusan muktamad mengenainya akan diketahui Khamis ini.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Datuk Seri Wan Junaidi pernah mengutarakan hasratnya itu sebelum ini.
“Dia (Datuk Seri Wan Junaidi) ada beritahu niat terbabit tetapi saya masih belum lagi membuat keputusan mengenainya dan kalau dia sudah kata begitu saya nak buat macam mana lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pergerakkan Wanita GPS di Kuching,
Menurut Tan Sri Abang Johari, selain faktor usia, Datuk Seri Wan Junaidi memberitahu beliau mahu menumpukan fokusnya kepada perkara lain.
Terdahulu, Datuk Seri Wan Junaidi memaklumkan beliau menyerahkan kepada Pengerusi GPS dan Presiden PBB itu untuk menentukan kedudukannya menjelang PRU ke-15 kali ini.
Pada PRU-14 lalu, Datuk Seri Wan Juanidi menang di kerusi Parlimen Santubong dengan majoriti 19,485 undi.