ALOR SETAR: Kerajaan negeri yakin tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan Persekutuan biarpun Kedah kini menjadi negeri pembangkang.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau tidak melihat negeri itu akan dipinggirkan kerana menerusi sistem federalisme sedia ada semua negeri mempunyai hak yang sama.
“Saya rasa dalam sistem federalisme semua negeri ada hak yang sama. Kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus menjalinkan kerjasama di bawah sistem itu. Saya rasa tak ada masalah apa-apa dengan situasi sekarang ini. Dalam dunia politik demokrasi sekarang ini pun, sudah tak mengizinkan perkara seperti ini (peminggiran) terjadi.
“Kalau gigih nak buat juga (peminggiran), memang cari nahas. Bagi saya, jalinan kerjasama itu nanti sikit pun tak ada masalah,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Karnival Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) peringkat Kebangsaan serta Sambutan 100 tahun penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultanah Asma di sini, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, berkata pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, tidak akan menjejaskan keyakinan Perikatan Nasional (PN) untuk menang di di Parlimen Padang Padang Serai.
“Keputusan di Padang Serai akan menjadi manifestasi sokongan rakyat di kawasan Parlimen tersebut kepada pihak mana yang disukai mereka. Kalau di mereka suka pihak sana, mereka akan undilah calon sana dan kalau mereka suka di sebelah sini, maka mereka akan undi calon kami.
“Tetapi saya rasa tak ada orang yang tak suka saya. Kami yakin untuk menang mudah di situ,” katanya.
Pengundian Parlimen Padang Serai, ditangguhkan sebelum ini berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya, 69, yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan, pada 16 November lalu.
Pada PRU14, Karupaiya yang mewakili PH menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN, Datuk Dr Leong Yong Kong. – BERITA HARIAN