JERTIH: Lebih 100 ahli PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Besut dijangka menyertai UMNO selepas kecewa dengan keputusan kepemimpinan untuk bergabung bersama BERSATU dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Kampung Gong Manok di Kuala Besut, Zamri Abd Rahman, 50, berkata rata-rata ahli terbabit juga kecewa apabila kerajaan PAS gagal menyelesaikan masalah bekalan air bersih dihadapi penduduk di beberapa kampung, sejak dua tahun lalu.
“Kerajaan PAS juga gagal menunaikan janji termasuk mengagihkan tanah kepada penduduk seperti dijanjikan melalui manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya ketika ditemui pada Program Ceramah Perdana BN di kampung itu.
Pada majlis itu, Zamri bersama 10 yang lain menyerahkan borang untuk menyertai parti UMNO kepada Ketua Bahagian UMNO Besut, Datuk Nawi Mohamad.
Mengulas lanjut, Zamri mengesahkan 100 ahli PAS akan menyerahkan borang untuk menyertai UMNO secara berperingkat sebelum PRU-15 diadakan pada 19 November depan.
“Seramai 30 ahli PAS kalangan ahli keluarga dan pekerjanya yang tidak dapat hadir dan akan menyerahkan borang minggu depan,” katanya. -BERITA HARIAN