![](https://media.buletintv3.my/2023/01/CMS-PPZ-2023-01-09T185630.528.jpg)
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Tanjung Keramat Datuk Ir Shahelmey Yahya sedia dikenakan tindakan oleh kepimpinan UMNO berhubung pendiriannya untuk meneruskan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Namun beliau dan 4 lagi rakannya menafikan sekeras-kerasnya ada mengeluarkan kenyataan akan menubuhkan parti baharu jika dipecat dari UMNO.
Ketegasan itu disuarakan kepada Buletin TV3 sebaik di hubungi, susulan terdapat beberapa laporan media yang mengaitkan beliau dengan kenyataan sedemikian.
Sambil menyifatkan laporan itu telah ditokok tambah, beliau yakin ia dikeluarkan tanpa pengetahuannya dan empat ADUN terbabit.
“Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengatakan kami akan menubuhkan parti baru sekiranya dipecat oleh parti, saya tidak penah mengatakan demikian.
“Saya konsisten bersama lima ADUN UMNO sejak Sabtu lepas sehingga ke hari ini, bahawa kami menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk terus menjadi Ketua Menteri Sabah.
“Kami tidak bersetuju dengan gerakan yang dilakukan oleh Datuk Seri Bung Mokhtar Radin bersama -sama rakan-rakan melalui Barisan Nasional Sabah iaitu untuk mengadakan kerjasama dengan Warisan untuk menumbangkan kerajaan negeri yang sedia ada, katanya.
4 lagi Adun yang didakwa bersama Datuk Ir Shahelmey ialah Datuk Dr Yusuf Yacob Adun Sindumin, Datuk Jasnih Daya Adun Pantai Dalit, Datuk Arshad Bistari Adun Tempasuk dan Datuk James Ratib Adun Sugut.