Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin strategi mendekati pengundi dalam kalangan ahli parti, selain tumpuan berterusan kepada pengundi atas pagar membantu memberikan kemenangan kepada gabungan BN- Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Setiap parti katanya mempunyai pengundi “deposit kekal” yang perlu terus disantuni, bagi memberikan gambaran tentang hala tuju parti dan kerjasama yang dijalin antara kedua-dua gabungan parti itu.
“Saya ingat penyokong kita di bawah sangat faham. Kalau tak tukar (kerajaan negeri), ada masalah. Kita harus menang semua kerusi, kerana kemenangan di satu kerusi tidak membolehkan kita membentuk kerajaan.”
“Sebab itu kita kena atasi isu silang sokongan di antara BN dan PH. Saya rasa semua dah faham.”
Tambah beliau, PH-BN juga jelas dalam komitmen pembangunan sosio-ekonomi rakyat di Kedah dengan manifesto yang menumpukan kepada segmen masyarakat di setiap kawasan.
“Misalnya, di Kuala Kedah tumpuannya adalah kepada golongan nelayan, di kawasan tengah tumpuannya kepada padi, dan di selatan pula kita fokus kepada kawasan perindutrian.”
“Jadi kalau dari situ, ada ekonomi yang boleh ditingkatkan. Kalau pendapatan meningkat, maka semua lapisan masyarakat akan mendapat manfaat,” katanya.
Dalam pada itu Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan slogan “Kalih Bagi Sama”, menjadi nadi dalam memastikan aspirasi pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.
“Kita dapat lihat kebimbangan Perikatan Nasional dengan menimbulkan naratif bahawa akan ada perubahan kerajaan persekutuan selepas PRN ini. Ini adalah permainan psikologi untuk memastikan negeri-negeri dibawah pimpinan PN tiada perubahan kepimpinan.
“Hakikatnya, sudah ada kesedaran di kalangan pengundi yang berfikir secara rasional bahawa ada keperluan untuk membawa kepimpinan negeri yang seiring dengan kerajaan persekutuan,” katanya.