Tumpuan :
Politik

Jurutera 26 tahun calon MUDA di Kepala Batas

 

Danial Abdul Majeed, jurutera berusia 26 tahun yang bakal berentap di kerusi Parlimen Kepala Batas pada PRU-15.

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mencadangkan Danial Abdul Majeed, seorang jurutera berusia 26 tahun sebagai calon kerusi Parlimen Kepala Batas di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengumuman dibuat Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz yang juga Pengarah Pilihan Raya MUDA dalam Majlis Pengumuman Calon MUDA PRU-15 di ibu negara, malam tadi.

Danial, anak jati Pulau Pinang merupakan graduan kejuruteraan pembuatan dari Universiti Malaysia Sabah dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Belia dan Duta Pembangunan Transformasi Luar Bandar di Sabah.

Danial yang turut hadir dalam majlis pengumuman calon berkata beliau kembali ke Pulau Pinang selepas melengkapkan pengajian tinggi untuk bekerja dan menabur bakti di Pulau Mutiara.

“Saya tidak gentar bertanding di kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang dipegang menteri kabinet kerana saya berpendapat tiada terma ‘kerusi selamat’ bagi sesiapa, jadi saya yakin dapat memperoleh kepercayaan pengundi di Kepala Batas,” katanya.

Sementara itu, Amira Aisya berkata kerusi berkenaan pastinya bukan mudah, namun MUDA menerima cabaran untuk berentap di kerusi yang diperuntukkan.

“Ramai yang berkata MUDA mendesak untuk mendapatkan kerusi di bandar, namun hakikatnya kerusi yang diterima adalah di luar bandar dan juga disandang oleh nama-nama besar, termasuk menteri kabinet. Kami akan bekerja keras untuk membawa agenda perubahan kepada rakyat,” katanya.

Parlimen Kepala Batas disandang oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dari Barisan Nasional yang memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,736 undi dalam PRU-14 dalam pertandingan tiga penjuru berdepan calon Parti Amanah Negara yang bertanding atas logo PKR dan calon PAS.

Beliau telah memenangi kerusi berkenaan buat pertama kali dalam PRU-13.

Datuk Seri Reezal yang pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Luar dan Menteri Belia dan Sukan dijangka mempertahankan kerusi Kepala Batas dalam kali ini.

Loading...
Terkini