comscore
Tumpuan :
Nasional

Jawatan MB : Azmin ‘peringat’ Amiruddin

SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan PKR pada asalnya tidak menghantar nama Datuk Seri Amiruddin Shari sebagai calon daripada Pakatan Harapan (PH), untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengemukakan nama Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua itu kepada istana, untuk dipilih menerajui kerajaan negeri.

“Betullah dia anak didik aku. Nama dia parti (PKR) tak serah kepada istana.“Amir (Amirudin) ingat, yang angkat nama engkau tu aku. Kerana hari ni kamu bersekongkol dengan dot dot dot, maka kita tidak ada pilihan. Kita (PN) tak ada pilihan – tolak PH, UMNO, DAP di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PN, Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Ketua Wanita PN, Rina Harun.

Untuk rekod, Mohamed Azmin adalah Menteri Besar kedua PH selepas gabungan itu berjaya merampas Selangor pada 2008.

Sebelum Mohamed Azmin, PH yang sebelum itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) meletakkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu.

Kemenangan PH pada PRU-14 pada 2018, mendorong Mohamed Azmin dibawa ke peringkat pusat menjadi menteri menyebabkan jawatan Menteri Besar Selangor kosong.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, negara ketika ini memerlukan seorang pemimpin yang mampu memaju kemajuan negara, bukannya tokoh ibarat selebriti yang gemar menyanyi.

Kenyataan berbau sinis itu dipercayai merujuk kepada bekas Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri ke-10.

“Semasa negara berhadapan krisis, kita perlu kepimpinan bukan selebriti, ini bukan masanya (untuk) menyanyi lagi ‘Oh Azizah’.

Ini masanya untuk nyanyi lagu rakyat…rakyat susah,” katanya.

Loading...
Terkini