BANGI: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor supaya tidak sibuk berpolitik.
Sebaliknya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, tumpuan sepatutnya diberikan untuk membantu rakyat.
“Saya fikir pilihan raya lama lagi, tiga tahun lagi. Jangan sibuk berpolitik. Kita mesti sibukkan diri kita untuk membantu rakyat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI Tahun 2024, di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan, AMANAH Johor tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Timbalan Pengerusi AMANAH negeri, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, ini kerana Johor di bawah BN masih belum membentuk Kerajaan Perpaduan.
Malah, beliau juga menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, sama ada bersama BN atau bersama dengan gabungan asal PH.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menyerahkan keputusan sama ada akan wujud pertembungan kedua-dua parti dalam pilihan raya akan datang kepada kepimpinan parti terbabit.
“Kita serahkan kepada kepimpinan parti berkenaan (untuk membuat keputusan),” katanya.
Pada PRN Johor 2022, UMNO menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula menang tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menang satu kerusi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.