Oleh Safwan Sawi
KINABATANGAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegur pihak yang memperlekeh Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan menjadikannya bahan sindiran terhadap kerajaan negeri.
Perbuatan pihak terbabit, khususnya pembangkang ujarnya bukan saja tidak wajar, malah tidak menghormati ‘Sabah Maju Jaya’ sebagai cogan kata rasmi yang terkandung dalam jata atau lambang kebesaran Negeri Sabah.
Inisiatif kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggunakan SMJ dalam pelan pembangunannya juga adalah untuk memartabat dan memperkasakan lagi cogan kata negeri Sabah yang sudah wujud sejak awal kemerdekaan negeri itu.
“Kita pilih nama SMJ kerana ia terletak di jata Sabah sejak awal kemerdekaan kita. Saya guna itu untuk memartabat cogan kata itu dan memperkasakannya lagi.
“Inipun SMJ jadi kritikan. Mereka yang dengki dengan kita, mereka yang dulu tiada hala tuju, kerana itu selalu mereka mempunyai fikiran negatif cakap SMJ jalan berlubang, SMJ air tiada”.
“Inilah yang dilakukan pembangkang hari ini. Ini niat tidak baik dan terlalu negatif kerana bagi kita SMJ adalah cogan kata yang mesti diperkasa dan dimartabat. Tiada orang guna ini sebelum saya tetapi saya guna ini untuk bangunkan Sabah,” katanya.
Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian pada Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Bahagian Sukau/Lamag di Dataran Pekan Sukau, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah; Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi, Ketua Penerangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Datuk Juhari Janan dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lamag, Abu Bakar Gapar.
Hajiji berkata, ketika ini SMJ bukan saja diiktiraf di negeri ini, malah turut mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bersetuju menjadikan ‘SMJ’ sebagai nombor plat khas kenderaan kerajaan negeri.
“Baru-baru ini apabila saya berjumpa dengan Pengarah JPJ Sabah, mereka bersetuju supaya plat SMJ adalah dikhaskan kepada kereta Kerajaan Negeri Sabah”
“JPJ mengkhaskan plat SMJ kepada kerajaan negeri sebagai pengiktirafan bahawa ia adalah satu hala tuju yang baik untuk Sabah,” katanya.
Menurutnya lagi, banyak inisiatif di bawah SMJ yang sudah berjaya dilaksanakan termasuk bantuan kewangan untuk anak-anak Sabah melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah.
Beliau berkata, dalam tempoh lebih dua tahun memerintah, kerajaan pimpinannya juga melakar banyak kejayaan dalam aspek ekonomi termasuk berkaitan perjanjian dengan PETRONAS yang menyaksikan Sabah menerima perkongsian