Tumpuan :
Nasional

[VIDEO]”Jangan gantung saya, pecat lebih baik” – Tan Sri Noh Omar 

Oleh Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar minta dipecat daripada UMNO.

Katanya parti itu membuat keputusan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun, namun beliau tidak bersetuju dengan perkara itu lalu mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya memecat keahliannya terus daripada parti.

“Dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi tadi diumum saya digantung selama enam tahun. Saya kata ‘no’. Jangan gantung saya, pecat saya lebih baik”

“Untuk apa saya berada dalam parti yang sudah lari dari perjuangan. Buat apa saya ada dalam parti yang saya berkorban sejak menjadi ahli parti tahun 1976.”

“Saya berkorban untuk parti saya hari ini tetapi nampaknya pada hari ini, ia digunakan untuk kepentingan peribadi.” Katanya ketika ditemui media selepas meninggalkan mesyuarat itu.

Menurut beliau, beberapa nama lain turut diumumkan untuk dipecat dan digantung keahliannya pada mesyuarat tersebut.

Tan Sri Noh turut berkata, beliau melihat UMNO hari ini sudah lari daripada perjuangan dan digunakan parti untuk kepentingan peribadi.

“Saya tidak boleh terima perkara ini sebab saya ada prinsip perjuangan.”

Semalam, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) lalu.

Kenyataan itu yang secara tidak langsung memberi isyarat beberapa pemimpin bakal disingkirkan dalam MKT UMNO malam ini.

Loading...
Terkini