Tumpuan :
Politik

Jangan Cari Harta ‘Sepencurian’ – Mohamad Sabu

Mohamad berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di Ipoh, malam ini.

IPOH: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu menyampaikan pesanan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isterinya yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; supaya mencari harta sepencarian dan bukan harta ‘sepencurian’.

Mohamad berucap di atas pentas dengan disaksikan lebih 7,000 hadirin, sekiranya PH berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini sekali gus menyaksikan Anwar bakal menjadi Perdana Menteri.

“Saya hendak nasihatkan bakal Perdana Menteri (Anwar) dan isteri. Bila jadi Perdana Menteri nanti bersama Kak Wan (Wan Azizah), carilah harta sepencarian. Jangan cari harta ‘sepencurian’,” katanya di sini, hari ini.

Hadir sama Anwar dan Azizah; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan ketika pentadbiran PH pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 turut mencuri tumpuan hadirin apabila menyelitkan isu mengenai kapal tempur pesisir (LCS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam ucapannya.

Mohamad berkata, isu dana LCS termasuk RM400 juta yang dibayar kepada syarikat yang tiada kaitan dengan pembinaan kapal menunjukkan anggota pasukan keselamatan negara tidak dihormati oleh kepimpinan negara sedia ada.

“Nasib baik aku sempat jadi Menteri Pertahanan. Kita sempat buat siasatan, diketuai Ambrin Buang (bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang).

“Semasa jadi Menteri Pertahanan dahulu, saya sendiri menyaksikan pengorbanan pasukan (tentera) laut di Sabah serta Filipina yang berada di sempadan. Saya lihat senapang terhunus untuk mereka jaga keselamatan siang dan malam,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin dalam ucapannya berkata, PH tidak akan mengikuti rentak lawan yang difikirkan berterusan memainkan sentimen agama dan perkauman dalam PRU15 kali ini.

“Sebaliknya kita akan tumpukan pada tawaran dan penyelesaian masalah rakyat.

“Kita akan wujudkan sebuah kerajaan kleptokrat dan penuh rasuah, dengan kerajaan yang punyai kesedaran untuk bertanggungjawab memelihara rakyat,” katanya.

Beliau berkata, PH tidak terkesan dengan pelbagai ramalan atau spekulasi kini yang melihat gabungan itu berpecah. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini