Oleh: Juliana Sharin
SHAH ALAM: Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak bertanding sebagai presiden pada pemilihan parti dijadual berlangsung tahun depan disifatkan sebagai hanya cadangan oleh Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, perkara itu tidak semestinya diterima oleh pimpinan dan akar umbi parti berkenaan.
“Saya nak maklumkan di sini, tadi baru ucapan Tan Sri, jangan persoalkan kerana kita belum buat keputusan untuk tidak menerima. Itu baru cadangan dan saya tidak melihatnya sebagai isu besar,” katanya pada sidang media.
Mengulas pendirian Tan Sri Muhyiddin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU itu sebaliknya menjangkakan ia akan dipertimbangkan semula untuk ditarik balik.
“Sebagai parti komponen, kami melihat ia sebagai memperkukuhkan Perikatan Nasional, Tan Sri masih mempunyai pandangan yang ada keperluan untuk Perikatan Nasional, dalam konteks parti ini kita ambil polisi kita tak campur tangan dalam pemilihan parti, kita menghormati, bagaimanapun saya fikir dengan senario yang berlaku Tan Sri akan fikir dua kali,” katanya.
Hadir sama Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong yang senada dengan padangan Pas itu.
“Perkara dalam parti BERSATU kita tidak mahu campur tangan, tapi kita harap Tan Sri boleh fikir lagi sekali lah, dan memimpin BERSATU lagi,” katanya.