
Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Pembangkang didakwa sengaja enggan atau melengahkan rundingan berkaitan peruntukan dana Ahli Parlimen sebagai strategi politik untuk memperlihatkan kerajaan tidak adil.
Menurut penganalisis politik, naratif itu sengaja dibina bagi meraih simpati rakyat sekali gus memberi persepsi buruk terhadap Kerajaan MADANI.
Pengarah Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (UNISEL), Profesor Madya Dr Hamdan Mohd Salleh, berkata jika benar pembangkang memikirkan kebajikan rakyat, mereka seharusnya kembali ke meja rundingan untuk membincangkan isu terbabit.
“Sejak awal, kerajaan sudah membuka ruang perbincangan antara kedua-dua pihak, namun isu ini sengaja dipolemikkan demi kepentingan politik.
“Banyak alasan boleh digunakan untuk melanjutkan rundingan, tetapi bagi saya, mereka terus memainkan isu ini bagi melemahkan kerajaan. Tentunya simpati yang diperoleh akan memberikan kelebihan politik dalam kalangan rakyat,” katanya.
Tambahnya, rundingan perlu dilakukan bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan dana serta memastikan peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat.
“Asas utama adalah bagaimana dana ini dapat disalurkan secara telus kepada rakyat tanpa sebarang isu penyelewengan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi menegaskan bahawa tidak pernah ada sebarang syarat yang menetapkan Ahli Parlimen pembangkang perlu menyokong beliau bagi mendapatkan peruntukan.
Beliau turut menasihatkan Ahli Parlimen pembangkang agar berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berhubung peruntukan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.