Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran terakhir kepada semua pihak, termasuk pemimpin politik tanpa mengira pangkat dan kedudukan supaya berhenti memainkan isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R), demi kepentingan untuk mengekalkan serta meraih kuasa.
Perdana Menteri berkata, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memantau semua isu berkaitan 3R yang dibangkitkan dan akan mengambil tindakan jika didapati menimbulkan huru-hara dan mengorbankan kepentingan rakyat pelbagai kaum serta agama di negara ini.
“Ini maknanya amaran terakhir dari kerajaan, saya selaku Perdana Menteri sudah tidak ada pilihan kerana desakan dari kalangan berfikir dan untuk pertahankan keselamatan negara, ini mengatasi kepentingan semua.”
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam tadi.
Beliau turut menyifatkan tindakan segelintir pihak yang memainkan sentimen sensitif demi mempertahankan kuasa sebagai langkah terdesak.
“Negara tidak boleh begitu, kita tak boleh lagi pandang dan pilih kedudukan, pangkat, keturunan atau kekayaan, kalau begini pandangan akan merosakkan, saya anggap keadaan ini sudah sampai sangat serius,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan, tema perpaduan Demi Kestabilan Dan Kemakmuran’ adalah tema yang akan digunakan oleh parti-parti dalam kerajaan perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos ini.
Bagaimanapun beliau berkata, setiap negeri yang terlibat dengan PRN boleh membuat slogan tambahan, manakala manifesto pilihan raya juga akan ditetapkan oleh pimpinan negeri masing-masing.
“Kita berpuas hati dengan persiapan, nampak semangat pendukung setia dapat dilonjakkan dan saya percaya berdasarkan laporan, kita bukan saja boleh bertahan di tiga negeri, tapi nampak satu keyakinan untuk menawan beberapa negeri lain.”
Beliau juga berkata, Jelajah Perpaduan MADANI dan pelancaran jentera perpaduan akan diteruskan di Kedah pada 15 Julai.
Ia diikuti Pulau Pinang 16 Julai, Kelantan 23 Julai, Negeri Sembilan serta Terengganu pada 27 dan 28 Julai.