Tumpuan :
Politik

Ismail Sabri bidas Ahmad Maslan

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membidas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan tanpa fakta susulan keengganan beliau membubarkan parlimen selepas kemenangan besar UMNO pada PRN Melaka dan Johor.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri, sebenarnya pandangan simplistik tanpa fakta oleh Datuk Seri Ahmad yang ketika itu menjadi Setiausaha Agung UMNO menjadi penyebab Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU-15.

“Semasa itu, ekonomi sedang dalam proses pemulihan selepas kita terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.”

“Sepatutnya proses pemulihan diteruskan bukan dengan membubarkan parlimen.”

“Namun kerana yakin menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU-15.”

Katanya, PRN tidak boleh dijadikan sebagai indikator untuk menentukan kejayaan BN dalam PRU.

Tambahnya, PRU melibatkan isu nasional.

Apatah lagi persepsi terhadap BN secara keseluruhannya masih tidak baik pada ketika itu,” katanya.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri, “punca sebenar” kekalahan BN kerana mempunyai bekas Setiausaha Agung UMNO yang hanya sekadar boleh membuat “andaian mudah” berlandaskan logik akalnya sahaja tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada BN.

Datuk Seri Ahmad dalam kenyataannya di Twitter hari ini mendakwa nasib UMNO dan BN tidak seteruk hari ini jika kerajaan yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri ketika itu membubarkan parlimen seperti yang disarankan oleh kepimpinan UMNO.

Tambahnya, masa yang tepat sangat penting dalam politik terutama bagi memastikan parti boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Beliau mengakui gelombang serta semangat parti pasca kemenangan dalam PRN Johor dan Melaka begitu kuat, malah ketika itu juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak masih dapat membantu parti untuk menang.

Loading...
Terkini