Tumpuan :
Politik

‘Insya-Allah rakyat bersama PN’ – Abdul Hadi

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (empat kiri) mengetuai perarakan calon Perikatan Nasional (PN) N38 Paya Jaras, Datuk Dr Halim Tamuri ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 di Kompleks Pejabat-Pejabat Kerajaan Daerah Petaling di Sungai Buloh hari ini. Foto NSTP/Amirudin Sahib.

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang meminta mereka yang menyokong Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 lalu, meneruskan sokongan kepada gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN), selain menarik penyokong baharu.

Beliau juga yakin PN mampu melakar kemenangan pada PRN di enam negeri bulan depan, namun tidak memandang mudah lawannya daripada Pakatan Harapan (PH).

“Kemenangan (di enam negeri) insya-Allah dicapai. Kita tidak menganggap mudah kerana kita menghadapi parti PH yang menjadi kerajaan.

Insya-Allah, rakyat bersama kita, seterusnya gelombang sokongan golongan muda yang mendokong kita pada PRU 15,” katanya kepada media selepas mengiringi calon PN bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Paya Jaras, Datuk Dr Halim Tamuri di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Sungai Buloh, hari ini.

Abdul Hadi yakin dengan perkembangan mutakhir ini, yang mana pentadbiran kerajaan didakwa bercelaru, banyak penyelesaian tidak boleh dilakukan dan janji tidak ditunaikan, PN akan terus mendapat sokongan.

“Dari segi persiapan kita sudah buat dari awal dan sebab itu tidak ada masalah untuk menggerakkan jentera,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan di Facebook, Abdul Hadi menyifatkan Dr Halim sebagai calon yang berwibawa dan berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pendidikan.

Katanya, Dr Halim ialah bekas profesor dalam bidang pendidikan Islam di Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekas Rektor Universiti Islam Selangor (UIS), selain pernah menganggotai Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKKDPN) di bawah Kementerian Pendidikan pada Oktober 2018 hingga April 2019.

“Saya memohon untuk mendoakan kemenangan calon PN di DUN Paya Jaras. Inilah hadiah yang kami bawakan kepada pengundi Paya Jaras dan mudah-mudahan hadiah ini diterima serta mendapat sokongan semua pengundi di sini,” katanya.

Loading...
Terkini